Followers

Sunday 17 April 2011

Cinta itu Buta


Cinta itu buta?
Cinta itu sesuatu yang suci. Datangnya Islam demi memelihara kesuciannya...
Cinta itu ibarat pelangi,
Yang memberi warna kepada kehidupan ini.
Cinta itu ibarat pelangi,
Menenangkan mata, pendamai jiwa.
Cinta itu ibarat pelangi,
Siapa melihat pasti terinspirasi.
Ya,
Cinta itu ibarat pelangi,
Hanyasanya cinta itu, cinta yang hakiki.

Mohd Syafiq, atau mudah dikenal dengan panggilan glamornya "Fiq" merenung lama kepada Firdaus.
Mohammad Firdaus, yang lebih mesra dipanggil "Daus" sudah kelihatan amat berbeza berbanding dirinya yang dia kenali dahulu. Semenjak dua menjak ini, Firdaus sering mengasingkan diri, sudah kurang berborak dan bergurau dengannya. Dia hanya selalu berinteraksi dengan alatan-alatan elektroniknya, yakni telefon bimbit dan juga komputer riba.
Firdaus dilihatnya seperti sudah berada dalam dunianya yang sendiri.
Selaku sahabat yang cukup rapat kepadanya, Syafiq amat risau melihat keadaan Firdaus. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berbincang dengan sahabatnya yang satu itu. Hanya selama ini, dia masih tidak menemukan masa dan peluang yang benar-benar tepat dan sesuai. Dia tidak mahu tergesa-gesa. Kini, masa dan peluang itu seakan tiba. Suatu petang yang agak tenang dan bebas dari kesibukan bekerja. Rakan-rakannya yang lain juga tidak datang bertandang di biliknya.
Syafiq pun bergerak memulakan bicara,
"Daus, aku tengok engkau sekarang dah lain la." Kata-kata Syafiq memecah kesunyian suasana.
Firdaus memalingkan wajahnya ke belakang melihat sahabatnya Syafiq. Riak mukanya memancarkan kehairanan, seperti tidak memahami apa yang dimaksudkan Syafiq.
"Hah. Aku dah lain? Mana ada Fiq... Aku sama je la. Engkau je silap perasan kot. Kalau aku dah semakin handsome mungkin la." Daus membalas kata-kata Syafiq dengan nada gurau.
"Ish engkau ni. Aku serius la. Aku tengok kau mandi dah tak basah, makan dah tak kenyang, tidur dah tak lena. Kau ada apa-apa masalah ke Daus?"
Terkoyak senyuman Firdaus. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Syafiq, dalam nada dan riak muka yang serius, sempat lagi membuat lawak. Memang perwatakannya seperti itu. Selamba.
"Ceh, kau ni. Kata serius. Hmm..." Firdaus memikirkan kembali masalah yang diketengahkan sahabatnya itu. Jauh di sudut hatinya, dia terpaksa mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Kini, kehidupan dia terasa lain. Ada beza.
"Mungkin betul jugak kata kau itu. Hmm.. Walaupun aku mandi masih lagi basah, tapi aku memang rasa lain la. Hati aku rasa tak tenang, jiwa sentiasa resah, otakku asyik memikirkan si dia je. Haihh." Firdaus menghela nafas.
"Aku rasa Fiq, aku dah terkena penangan cinta la."
Firdaus meleraikan apa yang terbuku dalam dadanya. Satu-satunya sahabat yang paling dia percayai adalah Syafiq. Maka dia kurang segan untuk menceritakan masalah peribadinya kepada sahabatnya itu.
"Yang kau maksudkan, Azlina?" Syafiq mahukan kepastian, sambil dia mengambil tempat duduk di sebelah Firdaus.
Firdaus mengangguk perlahan. Syafiq dapat mengagak. Dia sering melihat sahabat karibnya itu berdiskusi dengan Azlina dalam kumpulan diskusi subjek 'Professional Communication Skill', ataupun lebih dikenali sebagai "PCS". Salahnya bukan pada perbincangan itu. Tetapi Firdaus kelihatan amat mesra dengan Azlina, sehinggakan, senda gurau dan perkara-perkara yang mereka sembang sering meleret-leret kepada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan perbincangan. Hatta berkenaan kehidupan peribadi sekalipun.
Bagi orang biasa, perkara ini bukanlah sesuatu yang dipandang pelik. Namun tidak bagi Firdaus. Syafiq yang sudah berkawan dengannya selama 7 tahun, sejak tingkatan 1, amat mengenali sahabat karibnya. Firdaus ini sikapnya pemalu. Dan dia juga punyai kefahaman akan adab-adab pergaulan yang dibenarkan Islam.
"Ish, bahaya tu Daus!" Bicara Syafiq, sedikit meninggikan suara.
"Aku takut kau dah terkena zina hati je. Asyik fikirkan dia je, macam mana pula study kau. Bagaimana tanggungjawab kau sebagai muslim. Jangan-jangan kau tak boleh fokus nanti. Lagipun, kau nampak mesra sangat dengan dia tu. Kau kena jaga-jaga Daus! Batas-batas pergaulan kena pelihara juga. Selama aku kenal kau, kau ni agak pemalu orangnya." Dengan spontan kata-kata itu tersembur dari mulut Syafiq. Terselit juga nasihat pada bait-bait yang diucapkan tulus dari hatinya. Ia atas dasar kasihnya akan sahabat paling rapat dengannya, Firdaus. Dia tidak mahu sahabat karibnya itu tertipu dengan fatamorgana dunia yang sering tampak indah pada pandangan mata.
"Aku rasa betul la apa orang kata..." Kata-kata Firdaus terhenti. Seakan tidak memberi respon kepada kata-kata Syafiq tadi.
"Orang kata apa? Orang kata apa?" Syafiq yang kehairanan, mengulangi pertanyaan dua kali, menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap kata-kata Firdaus.
"Aku rasa.... cinta itu buta la Fiq."
*****
Petang itu, Mohammad Firdaus kelihatan agak teruja. Perkenalannya dengan gadis 'ICT' bernama Nur Azlina dalam tempoh masa yang singkat sudah cukup membuahkan perubahan yang drastik pada dirinya. Nur Azlina, seorang wanita yang menurutnya berparas indah dan juga bertudung labuh, telah menepati kriteria-kriteria wanita idamannya. Dia merasa amat bertuah dapat mendekati wanita itu. Namun adakah caranya betul?
Firdaus tidak pasti. Tetapi dia merasakan dia sudah tidak mampu untuk menolak arus cinta ini, yang dirasakannya terlalu deras, lalu membiarkan dirinya hanyut di dalamnya. Dia yang dahulunya cukup terkenal dengan sifat warak, malah turut digelar 'lelaki pemalu' oleh sebahagian rakan-rakan wanita satu batchnya, kini seakan-akan sudah lupa dengan apa yang menjadi pegangan dirinya selama ini.
Ungkapan 'setiap manusia pasti akan berubah', mampukah dijadikan alasan?
"Assalamu'alaikum." Sapa Firdaus dengan nada dan wajah yang ceria.
"Wa'alaikumsalam." Azlina tersenyum membalas salam. Manis.
Pertemuan mereka berdua-duaan ini merupakan buat pertama kalinya, yang mereka adakan di sebuah restoran, berdekatan dengan IPT mereka. Mereka yang pada mulanya segan silu dengan bebola-bebola mata yang memerhati dari sekeliling mereka, lama-kelamaan sudah menjadi lali dengan suasana itu. Mereka merasakan mereka sudah berada dalam dunia mereka sendiri. Mereka hanyut!
Firdaus yang pada mulanya duduk bertentangan dengan Azlina menukar tempat duduknya, mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Azlina, kerana merasakan kedudukan mereka kurang rapat. Kini, kedudukan mereka amat rapat.
Lama-kelamaan, tangan Firdaus mula diangkat, lalu...
Syafiq menggeleng-geleng mendengar apa yang diceritakan sahabatnya, Firdaus.
Dia seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Benarkah rakannya yang sudah dia kenal lama itu sudah berubah sehingga begitu sekali, hanya kerana seorang wanita? Ataukah ini hanya satu mimpi?
Namun, pengakuan itu tulus dari sahabatnya itu sendiri. Ini bukan mimpi. Ini realiti. Dia tidak dapat tidak, mempercayainya. Syafiq jadi teringat akan satu pesan Nabi Muhammad s.a.w., bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar buat lelaki muslim akhir zaman. Kini, dia sendiri terpaksa berdepan dengannya. Fitnah tersebut telah tertimpa ke atas sahabat karibnya sendiri. Maka sekarang, apakah tindakan yang harus dia lakukan? Otaknya berfikir ligat.
Firdaus pula yang amat mempercayai Syafiq, sanggup meluahkan segala yang berlaku pada dua hari lepas. Walaupun pada mulanya dia segan, namun, sebersit rasa tidak senang di dalam hatinya akan tindakannya dahulu menyebabkan dia terus menceritakannya. Semuanya didedahkan secara terperinci, tiada apa lagi yang terselindung.
"Betul apa kau kata itu Daus..." Syafiq cuba menyusun kata.
"Cinta itu buta dan dapat membutakan. Namun..." Firdaus merenung tepat muka Syafiq.
"Ianya tidak bagi orang-orang yang beriman. Cinta mereka tidak buta. Cinta mereka tidak membutakan. Mereka punya iman. Maka, iman di dada merekalah yang akan mengawal setiap tingkah laku mereka, mengatur gerak geri mereka. Penglihatan nurani mereka jelas."
"Walaupun dalam bercinta?" Firdaus memotong.
"Ya, walaupun dalam bercinta." Syafiq membalas dengan nada sedikit tegas.
"Daus, cinta itu boleh menjadi buta......" Firdaus mengangkat wajahnya, berminat.
"Apabila cinta itu berlandaskan nafsu semata." Syafiq menyambung kata-katanya. Nada suaranya diturunkan kembali. Lembut.
Firdaus merasa terpukul. Tutur kata Syafiq membuatkan suara-suara iman di hatinya kembali kedengaran. Kembali hidup. Imannya menjerit-jerit keseksaan. Akan tetapi, gelojak nafsunya pantas menepis-nepis suara-suara keimanannya itu tadi.
" Tapi.." Firdaus cuba bersuara mempertahankan dirinya. Namun belum sempat dia meneruskan bicara, Syafiq telah memotongnya terlebih dahulu.
"Daus, sudahkah kau lupa akan firmanNya?" Syafiq berkata sedikit meninggikan suaranya. Kata-katanya ditutur satu persatu, cuba menghalusinya, kerana dia tidak mahu Firdaus merasa tersinggung. Jauh skali niatnya untuk memperkecil-kecilkan sahabatnya itu.
Wajah Firdaus tidak menunjukkan apa-apa riak. Matanya kosong.
Kemudian, Syafiq membacakan maksud satu ayat Al-Qur'an yang masih segar tersemat dalam ingatannya. Surah Al-Jasiyah ayat ke-23,
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
Firdaus tertunduk di lantai. Tersentak dengan ayat Al-Qur'an yang baru didengarinya tadi. Peringatan dari ayatNya memberi tamparan hebat buat dirinya yang sudah mulai leka.
Tanpa dia sedari, air matanya mula mengalir, membasahi pipi. Semakin lama, semakin deras.
Dia kembali sedar. Selama ini, dia telah melebihkan cinta dan nafsunya berbanding Allah. Walaupun dia dan Azlina tidak pernah sesekali pun mengisytiharkan bahawa mereka sedang ber'couple', namun, perbuatan-perbuatan mereka tempoh hari jelas-jelas membuktikannya. Memang ia tidak dapat dinafikan lagi. Allah bukan mendapat tempat yang pertama di hatinya. Dia mula merasakan kesal atas dosa-dosa yang telah dia lakukan.
"Daus..." Syafiq datang mendekati Firdaus. Dia memegang erat tubuh rakannya itu. Dia turut merasa kepedihan yang dialami sahabatnya itu. Tanpa disedari, butiran-butiran air turut berguguran di atas pipinya. Sungguh, orang-orang beriman itu seperti satu tubuh, yang mana jika satu organ sakit, anggota-anggota lain turut merasainya.
"Cinta yang suci itu adalah... apabila kita cinta seseorang itu, dan kita mahu bersama-sama dengannya menembus ke syurga. Sama-sama dalam keredhaanNya." Syafiq masih berusaha memberi kefahaman dan kekuatan kepada sahabatnya itu.
Dalam hati, Firdaus mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Ya, jika benar cintanya tulus, sudah pasti dia tidak akan sanggup membiarkannya kekasih yang dia cinta itu tercampak ke dalam api neraka. Bahagia di dunia, namun di akhirat terseksa selama-selamanya. Adakah itu yang dia mahukan? Sudah tentu tidak. Dan pasti, cintanya itu bukan cinta yang tulus.
"Makanya Daus, sudah tentu, apabila kita benar-benar cinta akan seseorang itu, kita tidak mahu si dia melakukan perkara-perkara yang Dia larang, tidak mahu si dia mengerjakan perbuatan-perbuatan yang Dia murka."
"Apatah lagi kalau kitalah sendiri yang menjadi penyebab kepada dosa-dosa yang dia lakukan itu. Kan?" Syafiq cuba mengambil kepastian dari Firdaus.
Firdaus hanya mengangguk-angguk perlahan. Beliau masih bisu tanpa bicara.
Seketika, keadaan bilik itu menjadi sunyi. Hanya sedu-sedan mengisi ruang.
Firdaus terasa amat bersalah. Dosa-dosa yang telah dia lakukan bersama Azlina dirasakan terlalu berat untuk dipikulnya. Malah, dia merasa tertampar kerana menganggap dirinyalah juga penyebab Azlina turut sama melakukan perkara-perkara yang dimurkaiNya. Dia tertanya-tanya, apakah dirinya ini masih layak berhadapan denganNya, meminta ampun segala dosa. Dia merasa begitu hina. 'Ya Allah, dosaku menggunung, apakah aku masih layak memohon belas dan simpati dariMu?'
"Namun Daus, yakinilah, pintu-pintu taubat itu sentiasa terbuka." Syafiq cuba memujuk. Seakan-akan dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran sahabatnya.
"Allah itu Maha Pengampun, dan tidak pernah jemu mendengar rintihan-rintihan hamba-hambaNya. Kasih sayangNya itu sentiasa mendahului kemurkaanNya. Dia pasti akan mengampuni hamba-hambaNya yang insaf serta menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan, lalu bergerak memperbaiki diri ke arah yang lebih Dia redhai."
"Walaupun dosa itu tinggi menggunung sekalipun, Allah itu Maha Pengampun terhadap hambaNya." Syafiq cuba meyakinkan, sambil mengusap-ngusap lembut belakang tubuh sahabatnya.
"Surah Ali Imran, ayat ke-89."
"Kecuali orang-orang yang bertaubat setelah itu, dan melakukan perbaikan, maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Syafiq tidak kekok untuk terus memberi curahan hati.
Mendengarkan ayat Al-Qur'an yang dibacakan Syafiq, Firdaus tiba-tiba terasa seolah ada embun dingin menyelinap di lubuk hatinya. Hatinya terasa tenang dan semakin lapang. Benarlah firman-Nya. Yang mana orang-orang yang beriman itu, apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNya, akan menambahkan lagi iman dalam dada mereka. Tatkala diperingati akan sifat-sifatNya, mampu memberi ketenangan kepada jiwa mereka.
Suasana bilik itu kembali kaku seketika. Hanya keheningan menggamit suasana.
"Tapi... aku... aku rasa tidak kuat la Fiq." Firdaus kembali bersuara, memecah kesunyian. Suaranya serak dan tersekat-sekat menahan isak tangisan. Sungguh berat dirasakan ujian yang menimpa. Dia mahu berubah. Namun, adakah dia mampu menghadapi segala-segalanya?
"Daus, Allah itu ada dengan kita."
"Allah itu tidak jauh. Bahkan sungguh dekat. Bukankah dia sudah berjanji akan bersama-sama dengan mereka yang sabar...."
"Dan Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya." Syafiq cuba memberi sinar-sinar harapan kepada sahabatnya.
"Dan aku, aku juga akan sentiasa bersama engkau Daus, walauapapun yang berlaku. " Lembut tuturnya.
"Walauapapun berlaku." Syafiq mengulangi lagi kata-katanya tadi. Ikhlas, dia menutup bicara.
Rangkulan antara kedua sahabat itu semakin erat. Bersama-sama, mereka larut dalam tangisan. Suasana yang pasti menggamitkan hati, bagi sesiapa yang melihat.
Kini, Firdaus merasa semakin kuat untuk menempuh ujian-ujian yang bakal mendatang. Bait-bait kata Syafiq yang tulus, cukup membuatkan dirinya kembali tersedar. Keterikatan ukhwah dan keprihatinan Syafiq akannya, amat-amat bertepatan dengan waktu dan kondisi dirinya. Langkahnya yang dirasakan longlai terasa disokong, menjadikan bebannya yang terpikul di bahunya terasa semakin ringan. Cahaya harapan untuk kembali kepadaNya yang kelihatan kelam seakan-akan dinyalakan kembali. Dengan Syafiq menjadi sokongan, Firdaus tidak merasa keseorangan dalam menanggung beban.
Kesedaran Firdaus kini jelas. Dia sedar bahawa dirinya telah tertipu dek fatamorgana dunia yang bernama cinta. Benar jangkaan awalnya, cinta itu buta. Namun dia tersilap. Tidak semua cinta itu buta. Cinta yang buta itu hanyalah cinta yang berlandaskan nafsu semata. Cinta yang tidak tulus. Cinta yang menipu. Cinta yang hanya membawa mereka sama-sama menuju kehancuran, yakni menuju neraka.
Sesungguhnya, bagi orang-orang beriman itu, cinta mereka tidak buta. Dengan cinta, mereka tetap mampu mengawal dirinya, mengawal rasionalnya. Dengan cinta, mereka tidak mengheret diri mereka bersama-sama kekasihnya ke dalam lubang kehinaan.
Puncanya? Iman. Ya, iman kuncinya.
Keyakinan tinggi mereka akan Allah dan azabNya. Itulah kekuatan mereka. Iman itulah yang menjadi pengemudi kepada cinta, bukan cinta yang mengawal keimanan mereka. Malah dengan cinta, penglihatan nurani mereka lebih jernih dalam menilai jalur-jalur kehidupan. Cinta kurniaan Tuhan itu jugalah mampu membantu mereka semakin dekat kepada Allah, semakin memperkuat iman dalam dada mereka.
Seperti sebuah kenderaan yang digunakan untuk mencapai satu destinasi tujuan. Kenderaan itu hanyalah berfungsi sebagai alat untuk mempermudahkan manusia mencapai tempat yang dituju. Sedangkan tanpa alat itupun, matlamat masih dapat dicapai melalui pelbagai cara atau kaedah yang lain. Maka, alat tetap alat, bukannya matlamat. Cinta itu jua hakikatnya alat. Alat untuk mencapai matlamat. Dan sesungguhnya, matlamat seseorang muslim itu seharusnya tidak lain untuk berjaya meraih redhaNya. Itu sahaja.
Maka, sejak detik itu, Firdaus berazam kuat untuk memperbaiki dirinya. Dia insaf. Akan dia pastikan, cinta yang akan dia bina nanti, benar-benar cinta yang tulus. Cinta yang suci dari najis-najis dosa. Cinta yang dibina atas dasar untuk mencari keredhaan Allah, bukan mencari Allah untuk mendapatkan cintanya.
Azamnya jelas. Dia mahu bersama-sama dengan kekasih halalnya nanti, bercinta, biar menembus hingga ke syurga.
Firdaus tekad.

Tuesday 12 April 2011

Manfaat Membaca Al Quran
by Pak Ngah - Farit Ismeth Emir on Monday, November 8, 2010 at 2:51pm
1. Jadi Syifa atau Obat Jiwa – Al-Quran juga adalah obat atau penawar bagi orang yang gelisah jiwanya. "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhan-mu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman" (QS. Yunus:57). Sahabat Rasulullah, Ibnu Mas'ud, pernah menasihati orang yang jiwanya gelisah, tidak tenteram, fikirannya kusut, makan tak enak, tidur tak nyenyak. Ibnu Mas'ud menasehatinya, antara lain agar orang tersebut mengunjungi tempat orang membaca Al-Quran, lalu ikut membaca atau mendengarkan saja. Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannyalah nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia pergi mengambil wudhu, lalu mengambil Al-Quran, terus dia baca dengan hati yang khusyu. Selesai membaca Al Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali.

2. Penghilang Penyakit Hati – “(Al-Quran) merupakan penawar (syifa) dan rahmat bagi mereka yang beriman” (QS. Al-Isra’: 82). Di dalam al-Asas fit Tafsiroleh Said Hawa disebutkan, “Syifa bermaksud (Quran adalah penawar) yang dapat menghilangkan syak (keragu-raguan), nifak, penyelewengan, kelemahan dan penyakit dalam hati. Quran juga adalah rahmat yang dapat menghasilkan iman, hikmat dan kebahagiaan.”


Monday 11 April 2011

KOLEKSI HADITH RASULULLAH S.A.W.

MENGUBAH CIPTAAN ALLAH S.W.T.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah melihat seorang kanak-kanak yang telah dicukur sebahagian rambutnya dan sebahagian yang lain dibiarkannya. Lalu baginda melarang mereka dari berbuat sedemikian sambil bersabda: 
"Cukurlah semuanya atau biarkanlah semuanya." (Hadis riwayat Abu Daud). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Larangan dari mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan di sini ialah larangan yang sangat dibenci manakala hikmat dari larangan ini ialah kerana dia cuba mengubah ciptaan Allah s.w.t. 
2- Harus mencukur rambut keseluruhannya dan harus juga membiarkannya kesemuanya dengan syarat kebersihannya hendaklah dijaga dan tidak menyerupai kaum perempuan. 
BUMI AKAN MENJADI SAKSI
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca ayat ini: Yang bermaksud: 
Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kemudian baginda bertanya: Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti? Para sahabat menjawab: Allah s.w.t. dan RasulNya yang lebih mengetahui. 
Baginda s.a.w. bersabda: 
"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Dorongan supaya melakukan amalan soleh dan menjauhkan diri dari melakukan maksiat. 
2- Kemampuan Allah s.w.t menjadikan benda-benda yang keras dapat bercakap di mana bumi akan memberi saksi terhadap setiap perkara yang berlaku. 
3- Larangan keras terhadap orang yang melakukan maksiat, walaupun dia jauh dari pandangan orang lain tetapi bumi tetap akan memberi saksi di hadapan Allah s.w.t yang menjadi hakim di hari kiamat kelak.
KELEBIHAN MEMBERI MAKAN KETIKA BERBUKA PUASA DIBULAN RAMADHAN
Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).  
 
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 
1- Penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan supaya melakukannya. 
2- Dalam tindakan menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka terdapat seruan kepada kasih-sayang, persamaan dan bantu-membantu di kalangan umat Islam. 
3- Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu. 
AMALAN PEMBERI SYAFA'AT DIHARI KIAMAT
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat." (Hadis riwayat Imam Ahmad).  
 
 
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 
1- Di antara kelebihan ibadat puasa ialah ia akan memberi syafaat kepada orang yang berpuasa pada hari kiamat kelak apabila umat Islam menunaikannya secara sempurna dengan meninggalkan makan, minum, hawa nafsu, bercakap dengan percakapan yang diharamkan, melihat kepada benda yang diharamkan dan mencari rezeki melalui cara diharamkan. 
2- Kelebihan bacaan Al-Quran di mana ia akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya pada hari kiamat kelak. 
CINTAKAN DUNIA
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; 
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 
H.R. Abu Daud 
Keterangan
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggarnbarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mernpunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya. 
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan" yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalarn bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan 'ttakut mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil danti dak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Manakala “takut mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agarna Allah s.w.t
Kitaa berdoa agar Allah s.w.t. menurunkan mushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. Insyallah. 
 
DOA MALAM LAILATUL QADAR
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu sekiranya aku mengetahui (mendapati) malam lailatulqadar, apakah yang harus aku baca pada malam tersebut? Baginda s.a.w. bersabda:
"Bacalah doa: Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan, oleh yang demikian ampunilah diriku)." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 
1- Permintaan yang paling penting bagi orang Islam ialah kesuciannya dari segala dosa dan penebusan diri dari perbuatan maksiat. 
2- Galakkan supaya memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan sentiasa memohon keampunan tersebut lebih-lebih lagi pada masa yang dimakbulkan segala doa terutamanya pada malam lailatulqadar. 
3- Di antara tanda-tanda malam lailatulqadar ialah terasa lapang dada, orang Islam terasa tenang jiwa bersama Allah s.w.t, cuaca dan suasana malam dalam keadaan sederhana serta matahari terbit pada waktu pagi dengan cuaca yang putih tanpa memancarkan sinaran. 
ORANG MUKMIN YANG DIUJI ALLAH S.W.T.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Sabar menghadapi cubaan boleh menghapuskan segala dosa. 
2- Cubaan yang paling dahsyat adalah cubaan yang dihadapi oleh para nabi kemudian orang-orang soleh seterusnya ke bawah secara berturut-turut
SETIAP UMAT ADA UJIANNYA
Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " (Hadis riwayat Imam Tirmizi).  
Kesimpulan Hadis:  
Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram. 
SOLAT SUNNAT ENAM RAKAAT
Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w 
" Barangsiapayang solat sesudah maghrib enam rakaat dimana tidak berkata-kata ia diantaranya dan kata-kata buruk, menyamailah solat itu baginya dengan ibadah 12 tahun" 
BALASAN SYURGA PADA YANG SABAR
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman: 
"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Imam Bukhari).  
 
Kesimpulan Hadis: 
1- Tabah dan sabar menghadapi musibah adalah merupakan tanda-tanda kesempurnaan iman manakala keluh-kesah dan bimbang adalah merupakan tanda-tanda kelemahan iman. 
2- Keagungan ganjaran tabah menghadapi musibah.
DIHARAMKAN MEMASUKI SYURGA
Bersabda Rasulullah s.a.w 
"Tiada seorang pembesar yang mati sedang ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya,melainkanAllah akan mengharamkannya memasuki syurga." 
 
AMALAN PALING UTAMA
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya: 
"Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: "Beriman kepada Allah s.w.tSahabat bertanya lagi: Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Jihad pada jalan Allah s.w.t.iaitu berjuang pada jalan Allah s.w.t. dan Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Haji Mabrur iaitu ibadat Haji yang diterima"
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w
"Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah.Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda s.a.w., semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda s.a.w."
Adakah jihad ke arah pembangunan dan ekonomi seperti yang disyorkan oleh media massa itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t? Apa matlamat jihad pembangunan dan ekonomi itu, disandarkan kepada apa ? Keranamu Malaysia ? Dimata dunia ? Dapatkah harta benda kita di bawa ke liang lahad dan menjadi penolong kita di akhirat ? 
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang. Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah: Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya *  
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah(dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah S.W.T. dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup). - Surah Al-Imran 157.  
 
PENYESALAN DIHARI KIAMAT
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : 
"Orang yang paling menyesal pada hari Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa." 
PENJELASANNYA 
Hadis ini menggalakkan umat Muslimin supaya menggunakan segala kesempatan hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida'ah dan kekeliruan yang merosakkan agamanya. 
Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan mendalamkan kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhidnya terhadap Allah s.w.t., dan dengan demikian akan meningkatkan darjatnya disisi Allah di hari Kiamat kelak. 
Hadis ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu. 
Kata pepatah Arab "Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah" alangkah ruginya seseorang guru yang tidak mandapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang yang belajar darinya memungut  keuntungan -keuntungan yang abadi 
 
PENANGGUHAN HUTANG
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w. bersabda:  
"Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naunganNya."   
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).  
Kesimpulan Hadis:  
1- Galakan supaya bertolak ansur dengan orang yang berhutang sama ada secara menangguhkan tempoh pembayaran hutang ataupun secara membebaskannya dari kesemua hutang atau sebahagiannya sahaja.  
2- Kelebihan orang yang bertolak ansur dengan orang yang berhutang di mana dia akan mendapat ganjaran yang sangat besar dan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak.  
3- Kelebihan mempermudahkan kepentingan orang lain dan menghulurkan bantuan kepada mereka serta harus berurusan dengan cara hutang.
ADAB MAKAN DAN MINUM
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya." (Hadis riwayat Imam Muslim).  
 
 
Kesimpulan Hadis: 
1- Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupai syaitan. 
2- Sunat mengutamakan anggota sebelah kanan di dalam semua perkara sehinggalah di dalam persoalan memakai kasut dan keluar dari rumah. 
3- Ancaman dari melakukan perkara yang jelas disebut di dalam hadis sebagai perbuatan syaitan.